Setiap manusia mempunyai karakteristik yang tertentu, begitu juga dengan pelanggan. Bagi memastikan anda dapat menyelesaikan setiap aduan yang diterima dengan baik, adalah penting untuk anda mengetahui jenis-jenis pelanggan yang mengadu.
Pada artikel kali ini, Awaken Training & Consultancy Sdn Bhd ingin kongsikan 3 jenis pelanggan yang mengadu:
1. Pengadu yang hiperaktif
Pelanggan yang hiperaktif akan sentiasa mengadu berkenaan semua perkara. Mereka adalah pengadu yang kronik, kadang-kadang sombong, biadap, dan agresif. Mereka ini hampir mustahil untuk dikendalikan kerana mereka ‘berjuang’ untuk membuktikan sesuatu dan untuk menang. Pengadu seperti ini amat sukar untuk ‘difahamkan’ apabila berada dalam keadaan agresif. Mereka selalunya berasa ‘seronok’ apabila membuat aduan. Bahayanya mereka ini adalah kerana mereka boleh menjadi seperti anak-anak kecil yang merengek-rengek berpanjangan untuk mendapatkan sesuatu. Walaupun ada antara aduan mereka itu adalah serius, mereka mungkin tidak akan memandangnya sebagai serius kerana sikap mereka yang akan sentiasa berterusan mengadu.
2. Pengadu yang tidak aktif
Pelanggan ini tidak akan mengadu kepada anda tetapi akan memberitahu orang lain! Mereka biasanya dikenali sebagai ‘pelanggan baik’ dan tidak akan sekali-kali menyatakan sesuatu yang akan menyedihkan atau memalukan anda. Mereka akan cuma berlalu pergi dan tidak akan kembali lagi. Pelanggan seperti ini merupakan pelanggan yang paling merbahaya kerana mereka tidak akan memberi peluang kepada anda untuk menyelesaikan masalah.
3. Pengadu yang aktif
Pelanggan yang aktif sedar akan hak mereka, tegas, yakin, dan tahu bagaimana untuk mengadu. Mereka mengharapkan ‘nilai’ dan perkhidmatan. Mereka juga akan memberitahu anda sekiranya mereka tidak menerimanya. Pelanggan seperti ini, amatlah berharga kerana mereka akan memaklumkan kepada anda sebarang aduan dan memberi peluang kepada anda untuk membetulkan keadaan. Mereka adalah pelanggan yang gembira untuk memberikan anda peluang kedua.
Setakat ini sahaja untuk perkongsian kali ini. Diharapkan perkongsian ini dapat membantu anda untuk lebih mengenali jenis-jenis pelanggan yang mengadu.