Terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) kerana telah melantik Awaken Training & Consultancy Sdn Bhd sebagai penyedia latihan untuk Kursus ini. Kursus ini dilaksanakan dengan menggunakan platform online conferencing iaitu aplikasi Zoom dan XSplit Broadcaster.
Seseorang individu yang mampu berkomunikasi dengan baik dan berkesan dapat menonjolkan kewibawaan diri dan organisasinya. Kemahiran komunikasi sangat penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap kepuasan para pelanggan, pihak atasan, orang kenamaan, pekerja, rakan dan juga pihak media, seterusnya memberi kesan besar kepada reputasi dan keuntungan organisasinya. Dalam dunia profesional, kemahiran komunikasi adalah pakej diri yang mengandungi kualiti dan ciri-ciri seorang individu berjaya yang menggambarkan kompetensi dan karakternya dalam menjalankan urusannya. Dengan memiliki kemahiran komunikasi, seorang individu akan mampu ‘menjual diri’, iaitu menjual nilai-nilai positif yang ada di dalam diri mereka, contohnya kepintaran, idea yang hebat, kreativiti, kejujuran, kesungguhan dan kewibawaan sebagai seorang ketua atau pegawai yang disegani.
Objektif utama kursus komunikasi berkesan adalah untuk memberikan pendedahan, ilmu, teknik dan kemahiran kepada kakitangan bagaimana berkomunikasi secara berkesan, beretika dan profesional dengan rakan sekerja, pihak atasan, ahli lembaga pengarah dan pelanggan. Kursus ini juga antaranya akan mendedahkan kepada para peserta tentang cabaran perkhidmatan komunikasi pelanggan dalam talian dan kebiasaan baru (new norm), serta bagaimana kemahiran berurusan dan berkomunikasi dalam cabaran semasa era digital dan krisis pandemik.
Antara perkara-perkara yang dipelajari oleh para peserta dalam Kursus Komunikasi Berkesan Siri 1 MEDAC selama dua hari ini ialah:
- Modul 1: Konsep Komunikasi dan Kesilapan Dalam Komunikasi
- Modul 2: Mengenal 4 Gaya Komunikasi Manusia
- Modul 3: Laras Bahasa Dan Skrip Positif Berkomunikasi Secara Berkesan
- Modul 4: Nada Dan Gaya Suara Dalam Komunikasi Berkesan
- Modul 5: Teknik NLP Dalam Komunikasi
- Modul 6: Adab Dan Etiket Dalam Komunikasi Berkesan
Terima kasih dan tahniah kepada semua peserta di atas komitmen dan penyertaan yang aktif sepanjang kursus hari ini. Penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) di atas jemputan dan kepercayaan untuk kami mengendalikan Kursus Komunikasi Berkesan ini.
Alhamdulillah kami bersyukur di atas peluang ini dan sambutan serta maklum balas yang amat memberangsangkan daripada para peserta terhadap konten dan penyampaian kami selama dua hari ini. Diharapkan ilmu yang diperoleh menerusi kursus ini dapat dikongsikan dengan mereka yang lain agar bermanfaat kepada keseluruhan organisasi. Kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk semua peserta. Semoga semakin maju dan cemerlang serta semoga segala usaha kerja kita diterima dan diganjari segala amal kebaikan dengan setinggi-tinggi ganjaran, in sha Allah.